Muka Depan | Berita | Galeri Foto | Kategori & Calon | Sejarah | Jelajah ABPBH | Bintang Idola | Berita Harian

Santai di Pantai Merdeka

Oleh Farihad Shalla Mahmud

Finalis ABPBH2009 melepak di pusat percutian yang diberi wajah baru

HEMBUSAN bayu laut yang dingin serta pemandangan menarik Gunung Jerai dan Tanjung Dawai menyambut kedatangan rombongan finalis, media dan krew Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 yang menginap di Pantai Merdeka Beach, Kota Kuala Muda, Kedah. Biarpun rombongan itu tiba kala angka jam sudah pun melewati angka 12 malam, namun rasa penat akibat perjalanan jauh hilang sebaik saja kaki memijak lokasi pelancongan yang baru setahun lalu beroperasi dengan wajah baru itu. Deru angin yang bagaikan mengusap dan membelai wajah menambahkan lagi kesegaran kepada mereka yang pada awalnya dihambat rasa mengantuk. Sejuknya, hingga sampai ke tulang hitam.

Selepas menerima kunci bilik, masing-masing bergegas menuju ke chalet melepaskan lelah. Terasa beruntung kerana chalet yang didiami rombongan ini berhadapan dengan laut. Kelihatan masih ada beberapa tetamu yang menginap di hotel ini menjalankan aktiviti memancing.

Bunyi ombak di pantai dan sesekali kedengaran kicauan burung membuatkan Pantai Merdeka Resort sesuai dijadikan tempat bercuti dan menenangkan fikiran. Memetik kata-kata finalis kategori Pelakon Komedi Wanita Popular, Kenchana Dewi, tempat ini memang sesuai untuk bercuti bersama suami. Hanya mereka berdua, tanpa diganggu sesiapa.

Suasananya yang santai dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan membuatkan lokasi percutian di sini juga semakin popular di kalangan pengunjung dalam dan luar negara.

Ini diakui Pengarah Pantai Merdeka Resort, Zulkhpli Nayan yang memberitahu penginapan yang mula beroperasi pada Februari tahun lalu, menjanjikan satu pengalaman indah kepada pengunjungnya.

"Sebelum syarikat Zubina Jubilee Sdn Bhd mengambil alih pengurusan kawasan ini, tak dinafikan tempat ini kurang mendapat sambutan. Namun, selepas Sultan Kedah meminta saya menguruskan kawasan pelancongan itu ditambah mendapat restu dan sokongan dari Majlis Perbandaran Sungai Petani, kami mula membaik pulih kawasan pelancongan ini.

"Untuk tujuan itu, ia membabitkan kos RM5.1 juta. Modal itu dikongsi dengan kerjasama Kementerian Pelancongan. Selepas berwajah baru, saya lihat ada kemajuan dari segi bilangan pengunjung yang datang menginap di sini," kata Zulkhpli yang juga seorang kontraktor.

Berkonsepkan tropikal, Pantai Merdeka Resort juga menjanjikan keselesaan kepada pengunjung dengan menyediakan pelbagai kemudahan untuk kegunaan mereka.

"Kami ada menyediakan pakej untuk seminar, persidangan, hari keluarga, bulan madu, kerja berpasukan dan kem motivasi, selain pakej perkahwinan dan bulan madu dengan harga yang berpatutan.

"Selain itu, terdapat juga aktiviti lasak seperti meredah hutan, bola tampar pantai, futsal, aerobik dan menawarkan khidmat bot untuk ke Tanjung Dawai," jelasnya sambil memberitahu kebersihan dan keselamatan adalah dua aspek yang amat diutamakan untuk keselesaan pengunjung.

Pantai Merdeka Resort mempunyai 50 unit bilik penginapan, dua dorm dan sebuah kafe iaitu Bayu Beach Cafe.

"Ada konsep selerak (buffet) dan juga hidangan ala-carte (pesanan). Kami menyediakan hidangan BBQ jika ada permintaan daripada pengunjung. Disebabkan bilik yang ada terhad, kami bercadang untuk menambahkan lagi tempat penginapan selain menambah kemudahan lain seperti pusat karaoke khusus untuk pengunjung yang gemar menyanyi," katanya.

Jika tiada aral melintang, ujar Zulkhpli syarikatnya itu juga akan membuka sebuah hotel di Terminal Lapangan Terbang Bayan Lepas.

Menurut Zulkhpli lagi, lokasi pelancongan itu akan dirasmikan oleh Sultan Kedah, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 26 April depan.

"Lokasi pelancongan ini memang dekat dengan hati baginda kerana ia menyimpan nostalgia sewaktu baginda muda-muda dulu. Istimewanya, baginda mempunyai chalet sendiri di sini iaitu chalet DiRaja yang terletak menghadap pantai.

"Baginda beberapa kali menginap di situ. Insya-Allah, pada 26 april depan, Baginda akan mencemar duli, merasmikan pusat pelancongan ini," ujarnya.

Mengenai kesudian mereka bekerjasama dengan ABPBH 2009 apabila menaja penginapan rombongan finalis, media dan juga krew, Zulkhpli mengakui pengaruh besar pada anugerah tahunan itu mampu memberikan promosi terbaik untuk Pantai Merdeka Beach Resort.

"Sebagai sebuah acara yang glamor, ABPBH mempunyai ramai pengikut. Secara tidak langsung, apabila kami bekerjasama dengan acara sehebat ini, ia juga adalah satu cara promosi yang terbaik buat kami.

"Lagipun, sebagai lokasi pelancongan yang baru dibuka, kami mahu rakyat Malaysia tahu bahawa Pantai Merdeka Resort sudah berwajah baru. Membabitkan diri bersama ABPBH, saya rasa adalah langkah terbaik untuk merealisasikan hasrat itu," katanya.

Bagi mereka yang ingin merasakan sendiri kedamaian serta keindahan Pantai Merdeka Resort, bolehlah melayari laman web www.merdekabeachresort.com ataupun menghubungi talian 04.4377555 atau 0174787589.








Artikel lain:



Copyright 2010 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved.